Tumbuh-tumbuhan
menghasilkan manisan. Ia biasa disimpan didalam bunga untuk tujuan menarik
perhatian serangga dan haiwan. Madu adalah sejenis manisan yang dihasilkan oleh
tumbuhan biasanya melalui bunga. Ia bertujuan bagi menarik haiwan pendebunga
seperti kelawar, kupu-kupu, rama-rama, lebah dan lalat untuk melakukan
pendebungaan.
Madu lebah adalah jenis
madu selalunya menjadi pilihan manusia. Madu yang dikumpul dari bunga-bunga
menghasilkan beberapa jenis madu
antaranya ialah :
- Madu putih,
- Keemasan.
- Hitam
- Merah dan lain-lain lagi
yang mana ia bergantung kepada jenis tumbuhan sekeliling yang berdekatan dengan sarang pengumpulan
madu.
Lebah akan menghasilkan
madu dari manisan bunga. Madu yang dihasilkan terdapat dalam pelbagai warna,
rasa dan bau. Lebah menghasilkan madu
dari nektar yang dimakannya kemudian nektar tersebut dicerna dalam sistem
pencernaan mereka. Madu yang terhasil merupakan cecair salivari atau air liur
mereka yang kemudiannya disimpan sebagai sumber makanan utama bagi mereka dalam
bentuk jeli atau lilin (wax) yang disimpan dalam sarang segi-enam (heksagon)
mereka.
Madu adalah sejenis
pemanis monosakarida seperti fruktosa dan glukosa. Ia mempunyai sifat kimia
yang menarik (atraktif) untuk tujuan pembuatan roti, kek dan biskut, dan
mempunyai rasa yang sedap dan lazat. Kebanyakan mikroorganisma tidak dapat
hidup dan membesar dalam madu kerana ia mempunyai aktiviti air yang rendah
kira-kira 0.6. Kerana itu madu diklasifikasikan sebagai makanan yang lambat
rosak dan hampir tidak rosak atau tidak basi. Walaubagaimanapun, madu
kadang-kala mengandungi endospora bakteria dari spesies Clostridium botulinum,
dimana sangat merbahaya pada janin dimana endospora bakteria mampu menghasilkan
toksin-hasilan bakteria dalam sistem intestinal janin pra-matang, yang membawa
kepada penyakit dan seterusnya bolih membawa kepada kematian.
Penggunaan madu dalam
sejarah manusia dalam pelbagai jenis makanan, minuman, pemanis, perasa malah
barangan kegunaan harian seperti bahan zat tambahan dalam kosmetik dan
ubat-ubatan telah lama diadaptasikan. Madu juga mempunyai nilai dan sumbangan
dalam agama dan bentuk (symbol) yang tersendiri. Madu telah banyak digunakan
dalam pelbagai tradisi perubatan samada moden mahupun tradisional juga
dikatakan mampu menjadi penyembuh kepada pelbagai jenis penyakit. Kajian
mengenai debunga dan spora dalam madu mentah (melissopalinologi) dapat
diterangkan dalam sumber flora madu. Ini kerana lebah mampu membawa caj
elektrostatik, dan mampu menarik zarah-zarah yang lain, teknik sama
melissopalinologi yang digunakan dalam kajian alam sekitar mengenai zarah
radioaktif, debu atau pencemaran partikel bebas.
Lebah atau nama
saintifiknya Apis Mellifera di antara makhluk ciptaan Allah s.w.t. yang
dikenali lantaran madu yang dihasilkannya. Tanpa madu, lebah hanya dianggap
sebagai seranga biasa yang tiada nilai komersial maupun kedudukan, walaupun ia
merupakan agen pendebungaan yang penting. Komuniti lebah amat dikenali sebagai
satu kelompok komuniti yang berdisiplin, komited dan rajin bekerja. Hasil dari
kerajinan dan ketekunan makhluk Allah ini maka terhasillah madu yang mempunyai
1001 khasiat yang secara tidak langsung maupu memberi sumbangan yang besar bagi
kesejahteraan kehidupan manusia.
Keistimewaan lebah ini
telah diabadikan oleh Allah s.w.t di dalam kitab-Nya al-Quran. Pengabadian ini
dilakukan dengan menamakan satu surah dengan nama lebah, Firman Allah dalam surah an-Nahl:
KAJIAN-KAJIAN
SAINTIFIK TERHADAP MADU LEBAH
Bagi negara-negara maju seperti
Amerika, Rusia, Jepun dan United Kingdom, para saintis mereka telah mengkaji
madu lebah semenjak ratusan tahun dahulu seiring dengan kemajuan sains dan
teknologi. Negara-negara ini adalah di antara pengeluar dan pengeksport madu
lebah terbesar di dunia. Bagi negara ASEAN pula tiada satu negara pun yang
mengeksport madu lebah secara komersil. Indonesia mempunyai sumber madu yang
banyak tetapi lebih untuk kegunaan dalam negeri sahaja.Tidak boleh disangkalkan
lagi madu lebah adalah sejenis ‘ubat’ semulajadi tertua yang pernah diketahui
yang Allah anugerahkan kepada manusia. Malahan sudah ribuan tahun manusia telah
pandai memelihara dan menjinak lebah dengan menyediakan tempat membuat sarang
lebah. Di zaman kegemilangan Rom dan Greek pula, madu dianggap suci, tanda
kasih sayang dan kesuburan.
Semenjak tahun 1969, di
Eropah telah wujud satu badan bertaraf suruhanjaya iaitu Codex Alimentarius
Commission (CAC) yang berfungsi untuk memantau kualiti madu yang khusus keluaran
dari Kesatuan Eropah (EU).
Pada tahun 1990, satu
badan yang dikenali sebagai International Honey Commission (IHC) atau dalam
Bahasa Melayunya sebagai Suruhanjaya Madu Antarabangsa telah di tubuhkan untuk
menentukan kualiti madu lebah. Pada masa yang sama, Amerika dan Eropah juga
masing-masing telah mempunyai tahap piawaian penentuan kualiti madu
masing-masing cuma berbeza dari segi beberapa parameter piawaian sahaja. Di
antara perkara-perkara yang diambil kira selain kualiti madu adalah
penyakit-penyakit yang menyerang sarang lebah , penyakit lebah, benih-benih
lebah, kebersihan ( hygiene), cara pembotolan dan kontaminasi.
Di dalam makmal antara
parameter piawaian IHC ialah:
1. Kandungan lembapan
(air) dalam madu-(moisture content)
2. Keasidan
3. Kandungan mineral
4. Hydroxymethylfurfural (HMF)
5. Aliran elektrik
6. Kandungan gula ringkas
7. Kandungan pepejal tak
larut
8. Aktiviti enzim diatase
9. Kaedah tambahan
seperti aktiviti enzim sukrase dan kandungan proline.
1. KANDUNGAN AIR
Sebelum tahun 1990,
kandungan air semulajadi di dalam madu adalah parameter utama dan kriteria
pertama untuk menentukan ketulinan dan kualiti madu. Tetapi setelah IHC
ditubuhkan, parameter lain turut diambil kira sebagai standard penentuan
sesuatu madu. Walau bagaimanapun, beberapa negara Eropah seperti Jerman,
Belgium, Austria, Italy, Switzerland dan Sepanyol tetap mengutamakan kandungan
air di dalam madu malah mereka kekal menetapkan kandungan air bagi madu Gred A
ialah antara 17.5-18.5%. Manakala IHC pula menetapkan di bawah 20.5%.
IHC telah mengkategorikan
madu dengan kandungan air kurang dari 17.5% adalah madu yang terbaik. Kandungan
air di dalam madu dipengaruhi oleh kandungan air di dalam manisan bunga yang
disedut oleh lebah dan jenis bunga; kerana ada bunga yang bersifat menyimpan
air selain dari faktor cuaca dan iklim di mana bunga itu tumbuh.
2. KEASIDAN
IHC telah menetapkan
keasidan bagi madu tulin ialah di antara pH 3.5-4.5. Manakala CAC pula
menetapkan pH 4.0-5.0. Keasidan ini akan memberikan rasa madu tulin sedikit
masam. Kemasaman madu sangat ketara terutama lebah yang menghisap manisan
bunga-bungaan dan buah dari pokok buah mangga, mempelam, langsat, manggis dan buah-buahan
hutan. Anda boleh rujuk kepada pencari madu lebah hutan/kampung untuk
mendapatkan kepastian. Kehadiran asid formik dan laktone adalah bahan yang
menentukan keasidan madu.
3. KANDUNGAN
MINERAL
Madu tulin, dengan izin
Allah Yang Maha Pencipta, mengandungi paras kandungan mineral yang hampir sama
dengan mineral yang terdapat di dalam darah manusia. Antaranya magnesium,
sulfur, fosforus, klorida,ferum, kalsium, potasium, iodin dan sodium. Galian
lain yang terdapat di dalam madu ialah kuprum, aluminium, nikel, silika dan
lain-lain mineral dalam jumlah yang lebih kecil. Semua galian ini memberi
fungsi secara fisiologi yang berbeza pada tubuh manusia. mengapa ada madu yang
lebih ‘panas’ dan tidak didatangi semut. Malah ada maklumat terbaru yang mengatakan
madu mereka akan ‘bernyala api’ jika dicucuh dengan mancis api!!. Ini pasti
kandungan sulfur (belerang ) madu tersebut tinggi dan tentu madu tersebut lebih
‘panas’.
4. KANDUNGAN GULA DI DALAM MADU
IHC menetapkan madu tulin
mengandungi sekurang-kurangnya 45% gula ringkas ( purata 56%) .Pada
kebiasaannya ialah madu tulin terbaik mempunyai 60%-65% gula ringkas. Manakala
gula sukrosa kurang dari 4.8% (purata 3.5%) dan yang terbaik kurang dari 0.5%.
5. HMF
Baru di perkenalkan pada
awal 1990-an di mana HMF adalah indikator untuk menentukan madu ‘segar’ dan
madu yang ‘overheating’. Madu yang baru dikutip mempunyai nilai indikator HMF
sifar (0). Madu yang tidak disimpan di suhu bilik atau terdedah lama kepada cahaya
matahari akan meningkatkan bacaan indikator HMF. HMF bergantung kepada cara
penyimpanan madu dan ph madu. Adalah di nasihatkan supaya madu tidak didedahkan
kepada cahaya matahari seperti disimpan dalam kereta dan terdedah pada panas
matahari. Tetapi jangan pula disimpan di dalam peti sejuk kerana sifat madu
yang menyerap lembapan akan menyebabkan kandungan air dalam madu akan
bertambah. Nilai HMF bagi madu yang berkualiti ialah tidak melebihi 5mg/100g.
Bagi negara yang beriklim sejuk, masalah HMF ini tidak begitu ketara.
Parameter lain yang
diambil kira selain dari yang di atas ialah kekonduktivitian elektrik yang baru
diperkenalkan dalam tahun 1996. Ia melibatkan ukuran yang mudah dan murah. Madu
yang berkualiti mempunyai bacaan tidak melebihi 0.8mS/cm.
Sains Perubatan Telah Membuktikan
Khasiat Madu
Fakta sains perubatan
mengatakan madu lebah mengandungi gula asli glukosa dan fraktosa yang mudah
dihadam. Apabila ia dicampur dengan sedikit air, ia menyerap masuk ke dalam
darah dalam masa tujuh minit dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh otak. Madu
lebah juga mengandungi vitamin B1, B2, B3, B5, B6 dan C di samping pelbagai zat
logam seperti magnesium, potassium, kalsium, sodium, klorin, belerang dan zat
besi.
Ahli-ahli sains daripada
pelbagai negara termasuk Amerika mengesahkan berkenaan khasiat madu lebah di
World Apiculture Conference yang diadakan pada 20 hingga 26 September 1993 di
China. Seorang doktor dari Romania membentangkan pengalamannya menggunakan madu
lebah bagi merawat 2094 pesakit-pesakit katarak mata atau cataract dan
mendapati 2002 daripada mereka sembuh sepenuhnya.
Mengikut Dr. Peter Molan,
seorang pakar biokimia dari unit Kajian Madu Lebah di Universiti Waikato, New
Zealand, di antara kelebihan madu lebah adalah pHnya berada pada tahap yang
menghalang pembiakan bakteria. Apabila ia dicairkan, salah satu enzim yang
terdapat di dalamnya merangsang pengeluaran bahan antibakteria yang dikenali
sebagai hydrogen peroxide. Kuasa antibakteria yang terdapat dalam madu lebah
membolehkannya membunuh sejenis kuman yang berbahaya, iaitu, staphylococcus
aureus.
Beberapa Lagi Kelebihan Madu Menurut
Sains Perubatan
·
Antara sumber tenaga asli bagi tubuh yang
terbaik e.g. Meningkatkan kekuatan otot dan stamina badan (British Honey Importers
and Packers Association)
·
Pembunuh kuman daripada jenis bacteria,
fungus dan protozoa (University of Waikato, New Zealand)
·
Mampu menyembuh ulser dan luka dengan
lebih cepat dan berkesan (University of Waikato, New Zealand)
·
Boleh merawat penyakit mata (Fotidar MR,
Fotidar SN)
·
Mampu menjadi antibiotic yang lebih
berkesan (University of Cardiff, Wales)
Penemuan dan kajian yang
di jalankan oleh doktor-doktor, termasuk doktor pakar perubatan serta oleh
ahli-ahli biologi yang merawat pesakit mereka dengan madu lebah. Kebanyakan
mereka dari Rusia, Amerika, England, New Zealand dan dari Timur Tengah. Ada antara
mereka telah membuat kajian secara serius dengan mengemukakan statistik dan ada
yang melakukan untuk rujukan diri sendiri.
Madu sebagai antibiotik.
Ada beberapa pengkaji yang membuat kajian madu sebagai antibiotik. Di antaranya
adalah seorang Ahli Biokimia, Dr. Peter Molan dari Universiti Waikato, New
Zealand telah berjaya menemukan ‘natural hydrogen peroxide’, NHP (Hidrogen
Peroksida Semulajadi) iaitu bahan yang dapat membunuh bakteria. Dengan kata
lain, madu bertindak sebagai antiseptik. Satu kenyataan penting beliau ialah “
enzim dan asid amino yang terdapat di dalam madu yang mengeluarkan ‘hydogen
peroxide’, iaitu dikenali sebagai antiseptik”. Madu tulin dapat merawat luka
atau bisul dengan amat berkesan. Bagi luka yang terbuka sebaiknya ditutup dengan
kain gauze setelah disapu madu dan ditukar 2-3 kali sehari. Lakukan untuk 3
hari, termasuk luka yang disebabkan oleh kesan terbakar atau terkena air panas
khususnya bagi kawasan luka yang tidak menyeluruh. Kajian Dr Molan ini agak
menarik kerana tidak semua sampel madu yang diambil mengandungi paras NHP yang
sama.Di mana beliau dapati ada madu yang lambat memberi kesan kepada luka yang
dirawati. Ini adalah bukti yang menyatakan bukan semua madu tulin itu
berkualiti. NHP hasilkan oleh enzim yang terdapat di dalam madu.
Sifat serap air madu
telah lama di ketahui, ini disebabkan perbezaan kelikatan iaitu berlaku proses
osmosis. Contoh mudah jika botol madu direndam air untuk menghalang semut, kita
akan dapati madu tersebut semakin cair dan air semakin kering. Kesan serap air
ini, akan menyebabkan bisul atau abscess yang bengkak bernanah akan cepat
‘kecut’ jika dibalut dengan madu. Dr. Molan juga membuat kajian di makmal di
mana bakteria ‘streptococcus pygones’ iaitu bakteria penyebab sakit tekak, di
mana bakteria ini tidak dapat membiak di dalam madu dan mati. Hiruplah madu dan
simpan seketika di dalam mulut, InsyaAllah akan melegakan sakit tekak anda.
Madu sebagai anti-fungal,
ahli mikrobiologi Rusia telah membuat kajian dengan sampel beberapa jenis
fungal ( kulat ) dan didapati kulat ini tidak dapat membiak dan mati mengikut
kadar masa yang berbeza-beza. Secara manual juga kita TIDAK akan dapat melihat
kulat ‘melekat’ pada madu yang terdedah. Tetapi jika kita perhatikan dodol yang
sangat manis sekalipun akan terdapat kulat melekat selepas beberapa lama. Ada
beberapa orang doktor dari Rusia telah menggunakan madu untuk disapukan kepada
jangkitan kulat (mycosis) di kulit dan kuku di mana didapati dapat
menghilangkan jangkitan kulat tersebut.
Mengikut pendapat Dr
Yusof Abas, Madu boleh diambil bersama dengan semua jenis ubat. Beliau tidak
bersetuju dari beberapa buku penulis tempatan yang menyatakan madu tidak boleh
dimakan bersama ubat darah tinggi, kencing manis dan ubat-ubat lain. Madu
adalah makanan tambahan. Tetapi MUNGKIN madu yang diadun bersama rempah ratus
atau bahan-bahan lain tidak sesuai dimakan bersama ubat-ubat hospital. Beliau
juga mencadangkan kepada mereka yang terlibat dengan perniagaan madu, agar
jangan sewenang-wenangnya menyatakan madu boleh merawat kanser. Kanser adalah
antara penyakit pembunuh utama, sebaiknya boleh menasihatkan sebagai rawatan
alternatif yang diambil bersama dengan rawatan konvensional di hospital.
Madu sebagai Anti-ulser
perut (gastric ulcer). Helicobacter Pylori ada lah bakteria yang menyebabkan
ulser perut, kajian yang di jalankan oleh Dr Molan juga mengesahkan bakteria
ini tidak membiak dan mati di dalam madu tulin dalam jangka masa dua hari.
Beliau juga mendapati bukan semua sampel madu yang digunakan akan bertindak
membunuh bakteria ini. Dr. Schacht dari Wiesbaden seorang ‘physician’
mengatakan pengalaman beliau di mana beberapa pesakit kronik ulser perut telah
sembuh dengan mengamalkan madu tanpa memerlukan pembedahan.Terdapat seorang
pesakit yang tidak sembuh dan beliau yakin bahawa madu yang digunakan itu tidak
tulin seperti sebelumnya.
Adakah madu juga sebagai antibiotik??
Kajian-kajian di makmal
telah mengesahkan banyak bakteria yang tidak dapat membiak di dalam madu malah
ada yang mati beberapa minit. Kebiasaannya demam selsema di sebabkan oleh virus
dan kemudian apabila imuniti badan kita telah menurun, bakteria demam selsema
pula akan menyerang di mana demam semakin kuat, selsema pekat, batuk berkahak.
Dengan minum madu saja, tidak memerlukan antibiotik bagi merawat demam selsema
ini malahan demam dan batuk cepat sembuh.
Anti-diabetik. Dunia
perubatan moden telah jauh ke hadapan untuk mengawal paras gula darah terhadap
pesakit-pesakit kencing manis. Persoalannya bolehkah mereka meminum madu lebah?
Sebarang minuman dan makanan yang mengandungi gula adalah ditegah diambil
secara berlebihan oleh pesakit kencing manis. Madu lebah tulin diketahui
mengandungi gula ringkas antara 45%-70% dan gula kompleks (sukros) antara
0%-5%.
Mengikut penggalaman Dr.
Yusof Abas, pengalaman beliau bersama dua orang doktor perubatan iaitu Dr Jamal
Burhan,dari Uni. Iskandariyah yang kerap merawat pesakit gangrene ( luka busuk
yang berwarna hitam) yang dihidapi oleh pesakit kencing manis. Beliau merawat
dengan membalut luka tersebut dengan madu untuk tempuh waktu 2-3 minggu dan
memberi minum madu tersebut, di mana dalam masa yang sama pesakit ini terus
mengambil ubat kencing manis dan amat mengkagumkan gangrene semakin pulih dan
paras gula masih terkawal malah pesakit memberi komen iaitu lebih bertenaga dan
kebas-kebas jari semakin kurang (peripheral neuropathy). Dr. V.Temnov telah
mengetuai satu ekspirimen di mana sebilangan pesakit kencing manis telah diberi
makan madu tulin dan paras gula telah diperhatikan. Di dapati paras gula mereka
masih terkawal dan beliau menyatakan paras gula tidak meningkat disebabkan gula
ringkas dalam madu telah dikeluarkan secara perlahan-pelahan ke dalam salur
darah dan berkemungkinan kandungan enzim, mineral dan bahan-bahan lain yang
belum dikenali dalam madu yang menyebabkan proses SR (slow release) ini.
Anti-alergik. Secara
peribadi, mereka yang mempunyai alahan (alergik) adalah sasaran utama untuk
saya memperkenalkan madu, seperti asthma yang teruk, resdung, alahan kulit dan
batuk yang berpanjangan, dalam sepuluh orang pesakit, biasanya ada seorang yang
mempunyai masalah alahan. Pengalaman saya kesannya amat mengkagumkan. Ramai
saintis dan doktor perubatan yang telah membuat kajian terhadap pesakit-sakit
alahan ini. Antara contohnya, Dr. William Paterson dari Ada, Oklahoma, bersama
beberapa doktor lain telah membuat kajian tehadap 17,862 pesakit yang berumur
di antara 21-60 tahun, yang di bahagaikan kepada 6 jenis sakit alahan yang
telah didiagnosa berkaitan dengan sistem pernafasan iaitu; chronic bronchitis,
astmatic bronchitis,bronchial asthma, chronic rhinitis,allergy rhinitis,
sinusitis juga pesakit radang paru-paru seperti chronic bronchitis, juga
pneumonia. Hasil kajian mereka amat menakjubkan. Kesimpulan yang beliau buat
sakit respiratori yang berkaitan dengan alahan cepat dan berkesan tetapi sakit
radang paru-paru tetap memerlukan antibiotik untuk cepat sembuh.
Anti-hipertensi. Pesakit
darah tinggi (hipertensi) mempunyai banyak pilihan, doktor-doktor perubatan
juga mempunyai banyak pilihan untuk dicuba keatas mereka. Malahan hipertensi
bukan sakit yang kekal , ianya boleh dikawal dengan mengamalkan gaya hidup
sihat seperti menurunkan berat badan, aktif bersenam dan jaga pemakanan. Minum
madu boleh membantu, belum ada kajian khas yang di lakukan terhadap pesakit hipertensi
dengan meminum madu.
Anti-kolesterol. Dalam
satu kajian oleh sekumpulan doktor dari Rusia ( tidak dinyatakan nama-nama
mereka) yang menyatakan paras kolesterol dapat di turunkan dengan pengambilan
madu dalam jangka masa 3-6 bulan ( 75% kejayaan dari pesakit, bilangan pesakit
tidak di nyatakan).
Anti-appetizer. Benarkah
madu boleh mengurangkan selera makan dan boleh menguruskan badan? Madu
mempunyai tenaga kalori dari sumber gula ringkas, gula komplek dan dari
protein. Madu yang paras gulanya kira-kira 65% mampu membekalkan 700 kalori
tenaga untuk sukatan 10 ml (dua sudu besar). 700 kalori ini jika dimakan waktu
pagi boleh bertahan sehingga 2-3 jam..Bagi mereka yang ingin menguruskan badan
di nasihatkan mengambil sukatan 3-4 sudu waktu pagi atau anda boleh meneguk
madu pada jam 10 pagi, dua sudu, lihat kesannya nanti anda akan hilang selera
makan tengah hari, kerana anda masih bertenaga dan tidak lapar. Begitu juga
jika anda teguk dua sudu sebelum waktu makan malam. Jika minum satu sudu madu
waktu pagi, anda mungkin akan terasa lapar pula di waktu tengahari.
Sejak berzaman ,madu
lebah telah digunakan dalam perubatan sama ada di gunakan madu lebah secara
sendirian ataupun di gunakan sebagai salah satu bahan dalam ramuan ubat
tertentu. Allah SWT telah mengisytiharkan bahawa madu adalah satu penawar bagi
pelbagai jenis penyakit dan ia juga merupakan kesukaan Rasulullah SAW.
Pelopor kepada ilmu
kedoktoran moden, Ibnu Sina telah mengeluarkan pendapat "Sekiranya kamu
ingin mengekalkan kemudaan(awet muda),maka makanlah madu lebah.
Khasiat madu lebah yang
banyak sehingga digelar sebagai minuman dari segala minuman dan ubat dari
segala ubat Namun begitu Firman Allah "Madu penyembuh bagi penyakit"
adalah tidak dimaksudkan dengan kesemua jenis penyakit tetapi merujuk kepada
penggunaan madu sebagai ubat atau sebagai salah satu ramuan dalam penyediaan
ubat. Sebagai contoh untuk menyembuhkan luka, di perlukan kulit kayu manis
kemudian di campurkan dengan madu dan di ikuti dengan doa kepada Allah serta
keyakinan pada diri.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, Al Quran
adalah suatu mukjizat yang akan terus membongkar hakikat di sebalik pencipta di
alam cakerawala ini. Ini juga menyingkap betapa segala penciptaan yang wujud di
bumi ini diciptakan oleh ALLAH dengan fungsinya yang tersendiri. Tiada satupun
objek atau kejadian yang dicipta secara sia-sia.
Walaubagaimanapun hanya
orang-orang yang berfikir dapat memahami rahsia di sebalik penciptaan yang
pelbagai sebagaimana yang difirmankan oleh Allah:
“Dan mereka-mereka (yang
beriman) sentiasa mengingati Allah sama ada dalam keadaan berdiri, duduk atau
berbaring. Dan mereka yang berfikir tentang segala penciptaaNya sama ada di
langit-langit ataupun di bumi. Mereka berdoa: Wahai Tuhan kami, tidak satupun
(objek & kejadian di langit dan Di bumi) yang Engkau ciptakan secara
sia-sia. Maha Suci Engkau, selamatkan kami dari NERAKA”.
(Surah Ali Imran:
191).