Jumaat, 15 Januari 2016

Posisi Tidur Yang Terbaik







Diriwayatkan daripada Barra’ bin ‘Azib r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya: “Apabila kamu hendak tidur di tempat pembaringan kamu hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk untuk solat. Kemudian hendaklah kamu baring di lambung kanan kamu. (Hr Bukhari dan Muslim)
Hadis ini mengajar kepada umat Islam supaya baring pada lambung kanan. Adapun tidur dengan cara yang lain adalah seperti berikut:-



Tidur dengan meniarap



Dr Zafir al-Attar berkata:
“Seseorang yang tidur meniarap di atas perutnya selepas tempoh yang tertentu akan merasai kesusahan untuk bernafas kerana beratnya gumpalan belakang badan yang besar yang menghalang dada daripada meregang dan mengecut ketika menghembus dan menyedut nafas. Kedudukan seperti ini juga menyebabkan kesukaran pernafasan yang boleh mengganggu jantung dan otak.”

Pengkaji dari Australia telah menyatakan bahawa berlaku peningkatan kematian kanak-kanak kepada tiga kali ganda apabila mereka tidur meniarap dibandingkan jika mereka tidur di lambung kanan atau kiri.
Majalah ‘Times’ telah menyatakan bahawa kajian di Britain telah menunjukkan peningkatan kadar kematian mengejut kanak-kanak yang tidur meniarap.
Tidur meniarap adalah dilarang oleh Islam. Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan hadis dari Rasulullah s.a.w . Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.” (Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)

Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:
Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.” (Hr Ibnu Majah)



Tidur menelentang


Dr Zafir al-Attar berkata:
Tidur menelentang akan menyebabkan pernafasan dengan mulut kerana mulut akan terbuka ketika menelentang disebabkan mereganngnya rahang bawah.
Sepatut dan seeloknya hidung yang bernafas kerana ia terdapat bulu2 dan hingus yang menyaring udara yang masuk dan banyaknya saluran darah yang disediakan untuk memanaskan udara.
Bernafas dengan mulut lebih menyebabkan seseorang itu terkena selsema di musim sejuk dan juga menyebabkan keringnya gusi yang akhirnya menyebabkan radang.



Tidur mengiring ke kiri

Tidur mengiring ke kiri pun tidak elok kerana jantung ketika itu dihimpit oleh paru kanan yang mana ia lebih besar dari paru kiri. Ini akan memberi kesan pada tugas jantung dan mengurangkan kecergasan jantung lebih2 lagi kepada orang yang sudah tua. Seperti mana perut yang penuh ketika itu akan menekan jantung.
Perbandingan diantara tidur mengiring ke kanan dan tidur mengiring ke ke kiri
Kajian yang telah menunjukkan bahawa makanan yang lalu daripada perut kepada usus berlangsung di antara 2.5 hingga 4.5 jam apabila orang yang tidur mengiring ke kanan. Manakala orang yang tidur mengiring ke kiri memerlukan masa di antara 5 hingga 8 jam bagi proses yang sama.


Tidur yang terbaik


Tidur yang terbaik adalah dengan kedudukan mengiring ke kanan kerana paru kiri lebih kecil daripada paru kanan. Ini menyebabkan jantung menanggung benda yang lebih ringan. Hati juga akan dalam kedudukan tetap stabil dan tidak tergantung. Perut akan bertenggek di atasnya dengan baik. Ini memudahkan untuk mengosongkan makanan dari perut selepas proses penghadaman.


PANDANGAN SAINTIS


Saintis-saintis telah mendapati bahawa cara berbaring ketika tidur (sleeping postures) boleh memberi kesan kepada kesihatan. Untuk merihatkan badan di samping menjaga kesihatan tulang leher (cervical spine), pakar-pakar perubatan mencadangkan dua kedudukan ketika tidur:

1. Mengiring ke lembung dengan meluruskan tulang belakang atau
2. Menelentang di belakang dengan muka dan badan mengadap ke atas dengan menjaga bengkokan tulang leher.

(Intermountain Spine Institute (1999); 'Spine Self Care') Kedua-dua cara ini akan mencegah tulang leher daripada terseliuh (subluxation or mis-alignment of the neck). Di samping itu, dengan berlapikkan bantal yang sesuai ketika tidur, sakit leher, sakit belakang, tekanan saraf (pinched nerves) dan kerosakan kepada tulang belakang (wear of vertebrae and spinal column) akan dapat dicegah. Meniarap merupakan cara tidur yang boleh menimbulkan tekanan ke atas belakang dan leher seseorang. Tidur begini boleh menyebabkan serangan sakit urat saraf dan otot. (Spine Self Care; Ibid)



Kesan tidur tidak mencukupi dan cara mengatasinya


Dr. Maiken Nedergaard iaitu ketua saintis yang menyelidik masalah tidur tidak mencukupi berkata bahawa otak hanya memiliki tenaga yang terhad untuk dirinya di mana ia perlu memilih untuk menjalankan salah satu dua fungsi: berjaga dan peka atau tidur dan detoks.

Kenyataan yang menyokong kajian tersebut boleh didapati dalam artikel berbentuk semakan berjudul Sleep Facilitates Clearance of Metabolites from the Brain: Glymphatic Function in Aging and Neurodegenerative Diseases seperti dilaporkan dalam jurnal Rejuvenation Research (Disember 2013).

Secara umum,  tiga jenis kesan berlaku akibat tidur tidak mencukupi atau tidur dalam posisi yang salah. Pertama, tindak balas dan tindakan dalam melakukan tugas menjadi perlahan. Kedua, tindakan kognitif juga terganggu yang menyebabkan memori bercelaru, sukar memproses info dan membuat keputusan yang tepat. Ketiga, ia menyebabkan seseorang mengalami sesuatu emosi secara berlebih-lebihan.

Kajian sains mendapati tidur tidak mencukupi boleh menyebabkan beberapa jenis gangguan kepada manusia termasuk lenguh, keliru, gangguan memori, murung, pembentukan memori palsu, halusinasi, tangan menggeletar, sakit kepala, tidak tenteram, mengalami ketumbit (stye: kelopak mata bernanah), edema di bawah mata, tekanan darah tinggi dan peningkatan paras hormon stres.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan peningkatan risiko diabetes, peningkatan risiko fibromyalgia, mudah meradang, mata bergerak dalam ritma pantas di luar kawalan, obesiti, sawan dan menguap.
Tidur tidak mencukupi juga didapati boleh menyebabkan mania (terlampau gembira dan kepercayaan/argumen songsang - delusion) dan simptom yang terdapat pada psikosis dan Gangguan Kurang Penumpuan Hiperaktiviti (ADHD: Attention Deficit Hyperactivity Disorder). 
Oleh itu, langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah yang di hadapi adalah mengamalkan amalan yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW sebelum tidur seperti terdapat dalam hadis sahih iaitu berwuduk dan membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Naas dan ayat Qursi. Baginda SAW juga membaca: Bismikallahumma ahya wa amut (Dengan nama-Mu ya ALLAH aku hidup dan mati), dan apabila bangun tidur membaca; Alhamdulillahil ladzi ahyana ba’da ma amatana wailaihin nusyur (Segala puji bagi ALLAH yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada ALLAH akan bangkit)" (Riwayat Bukhari). Tidur dengan mengiring ke kanan.
          
                            
Kesimpulan

Kesimpulannya. Ajaran Nabi tentang tidur, samada yang berkaitan dengan kepentingannya, tidur tengaharinya, cara berbaring dan lain-lainnya, adalah begitu saintifik sekali. Kajian kontemporari telah membuktikan tentang semua ini. Ini menunjukan bahawa ajaran Nabi adalah suatu ajaran yang seimbang yang boleh membawa manusia kepada keunggulan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan